Main Article Content
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan Community Policing dari sudut pandangan dalam kalangan warga PDRM Kontinjen Kuala Lumpur berdasarkan Model Penilaian Stufflebeam/KIPP (Konteks, Input, Proses dan Produk). Kajian ini mempunyai empat objektif iaitu; (1) mengukur tahap pemahaman konsep Community Policing, (2) mengenal pasti tahap persediaan pelaksanaan Community Policing, (3) menilai keberkesanaan Community Policing ketika proses pelaksanaannya dan (4) mengenal pasti kesan dan perubahan yang berlaku dalam kalangan kumpulan Pegawai Kanan Polis (PKP) dan kumpulan Pegawai Rendah Polis (PRP). Seramai 487 orang responden telah dipilih secara rawak strata sebagai sampel kajian dengan menjawab borang soal selidik. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa dari penilaian konteks, keseluruhan warga PDRM Kontinjen Kuala Lumpur memahami konsep dan objektif Community Policing (min=3.99, sp=0.61). Dari penilaian input, tahap persediaan dalam pelaksanaan Community Policing yang meliputi persediaan sumber, kendiri, sokongan ketua, pengurusan kewangan, sokongan agensi lain dan promosi juga berada pada tahap tinggi (min=4.03, sp=0.57). Dari penilaian proses, warga PDRM Kontinjen Kuala Lumpur menjalankan tanggungjawab secara professional dalam memastikan Community Policing dilaksanakan dengan berkesan apabila mencatatkan tahap tinggi (min=4.03, sp=0.59). Manakala kesan dan perubahan yang berlaku dalam kumpulan PKP dan PRP dari penilaian produk juga berada pada tahap sangat tinggi (min=4.09, sp-0.57). Kumpulan PKP lebih mengalami perubahan sikap selepas pelaksanaan Community Policing berbanding kumpulan PRP. Kajian ini membuktikan bahawa Community Policing di Kontinjen Kuala Lumpur adalah berkesan, masih relevan dan perlu diteruskan agar konsep kebersamaan antara PDRM dengan masyarakat menjadi satu budaya dalam sistem kepolisan di samping terus membantu PDRM dalam mengurangkan kadar jenayah.