LEBUH RAYA PANTAI BARAT, WCE: CORAK PEMBANGUNAN DAN PERKEMBANGAN AGROPOLITAN DI DAERAH SABAK BERNAM, SELANGOR
Keywords:
Lebuh raya WCE, corak pembangunan, ribbon, leapfrog, agropolitanAbstract
Lebuh raya merupakan antara faktor berlakunya proses penyerakan dan pembangunan sesuatu kawasan. Lebuh raya merupakan infrastruktur awam yang dibina bertujuan untuk menyuraikan masalah kesesakan, mengurangkan jarak perjalanan serta masa perjalanan serta struktur dan perkhidmatan yang lebih baik berbanding dengan jalan negeri atau jalan kampung. Pembinaan infrastruktur pengangkutan seperti jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan laluan kereta api bertindak secara tidak langsung dalam menentukan kawasan tumpuan pembangunan. Infrastruktur pengangkutan ini berperanan sebagai pemangkin dan pemacu kepada peningkatan aktiviti ekonomi di samping meningkatkan keupayaan untuk menghidupkan kawasan berhampiran yang terlibat. Fenomena pertumbuhan ekonomi ini membawa kepada penyerakan bandar yang memberi kesan kepada guna tanah di kawasan sekitarnya kesan peningkatan aktiviti pembangunan kawasan ekonomi, kemudahan awam, penempatan dan industri yang dijalankan bagi memenuhi permintaan ekonomi dan sosial. Impak dari pembinaan lebuh raya dapat dilihat melalui masa perjalanan yang semakin singkat dan kos pengangkutan yang lebih menjimatkan. Kajian ini menggunakan pendekatan spatial bagi menganalisis kesan pembinaan lebuh raya WCE terhadap pembangunan yang dicadangkan di dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Sabak Bernam bagi tahun 2010-2025.