JEJAK SULAMAN KELINGKAN DI MALAYSIA DAN INDONESIA

Main Article Content

Suhana Sarkawi
Norhayati Ab. Rahman

Abstract

Penggunaan benang pipih saduran emas dan perak atau kelingkan sebagai fokus dalam sulaman tudung wanita dalam pakaian Melayu khususnya daripada golongan diraja dan bangsawan telah tercatat dalam sejarah sejak wujudnya perdagangan antara Alam Melayu dengan pedagang dari benua India dan China seawal kurun ke 10. Pengaruh kerajaan Turki Uthmaniyah pula mulai menyebar dalam kurun ke 16. Setakat ini belum ada pemetaan lokasi pemakaian tudung berbenang emas dan perak pipih yang dinamakan kelingkan ini direkodkan secara berpusat dalam satu literatur. Kajian ini bertujuan menjejaki lokasi keberadaan dan penghasilan tudung kelingkan di Malaysia dan Indonesia. Selain itu, kajian ini berusaha mengenal pasti sebaran tudung kelingkan di kedua-dua wilayah dan memperlihatkan kewujudan jenis sulaman tel müşabak, tel kilma dan tel sarma dari Semenanjung Anatolia pada sulaman tudung kelingkan di Malaysia dan Indonesia. Bentuk kemasan hujung renda tudung kelingkan (oyah) juga dianalisis satu persatu. Untuk itu, kajian ini menggunakan kaedah kajian lapangan, kepustakaan dan temu bual pakar bagi mendapatkan data. Data dianalisis dengan menggunakan analisis kandungan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa lokasi keberadaan sulaman kelingkan pada kain tudung di Malaysia adalah di negeri Sarawak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Manakala di Indonesia, sulaman kelingkan pada tudung ini ada di Pontianak, Ketapang, Daik dan Palembang. Pengaruh jenis sulaman tel müşabak, tel kirma dan tel sarma dan nama motif pada tudung kelingkan yang dikenal pasti juga turut diperkenalkan. Terdapat persamaan-persaman dalam teknik sulaman yang digunakan oleh penyulam Anatolia (Semenanjung Turki) dengan penyulam Melayu. Keunikan sulaman kemasan hujung (oyah) tudung kelingkan di alam Melayu juga diperkenalkan. Dengan adanya pemetaan lokasi keberadaan sulam kelingkan ini, kajian penggunaan benang pipih saduran emas dan logam perak pada pakaian wanita Melayu dapat diperkembangkan dan diperkenalkan semula kepada generasi Melayu kini. Ketinggian budaya Melayu dan keindahan seni sulaman kelingkan ini juga dapat mengeratkan lagi ikatan budaya dan sejarah hubungan Malaysia – Indonesia yang terjalin sejak berkurun lama.
Kata kunci: kelingkan, sulaman, budaya, Malaysia, Indonesia.

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

How to Cite
Sarkawi, S., & Ab. Rahman, N. (2020). JEJAK SULAMAN KELINGKAN DI MALAYSIA DAN INDONESIA. Jurnal Pengajian Melayu (JOMAS), 27(1), 45–69. Retrieved from https://sare.um.edu.my/index.php/JPM/article/view/25641
Section
Articles